pantai sri tujuh

Selasa, 9 Februari 2010


MUNGKIN ramai tidak tahu Pantai Sri Tujoh di Jajahan Tumpat, Kelantan terhasil daripada pembentukan tujuh teluk. Keindahan semulajadinya memberikan ketenangan kepada sesiapa yang berkunjung. Duduk bersantai melihat pemandangan pantai ini juga mampu melenyapkan bebanan kerja yang bersarang di fikiran. Tambahan pula, apabila melihat aktiviti nelayan menebar jala dari tepi pantai.

Sumber pendapatan nelayan ini tidak terhad kepada tangkapan ikan malah menjalankan penternakan ikan dalam sangkar dan memproses ikan masin.

Keindahan pantai ini sudah lama dikenali pelancong asing menerusi penganjuran pertandingan wau peringkat antarabangsa tidak lama dulu.

Tarikan utamanya bagaimanapun terletak pada fenomena tujuh teluk yang tidak boleh didapati di tempat lain. Daripada sebuah pantai yang sebelum ini pernah diancam hakisan teruk, pemandangan semulajadinya berubah menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar.


Kedudukan pantai itu di kawasan teluk turut menjadikan perairannya begitu tenang dan sesuai untuk pelbagai aktiviti sukan air termasuk bermain bola tampar, berenang atau berkhemah.

Lebih menarik apabila melihat kesibukan bot nelayan yang berlepas ke laut dalam untuk mencari rezeki. Waktu malam di sini bagai bermandi cahaya dengan deruan bunyi bot nelayan yang berlabuh selepas beberapa hari di laut.

Hari minggu adalah waktu paling sesak di sini apabila pelawat membanjiri kawasan pantai. Kawasan pantainya yang luas juga membolehkan pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti sukaneka dan perhimpunan keluarga diadakan.

Untuk mereka yang ingin menghayati keindahan pantai pada waktu malam tidak perlu risau kerana banyak chalet dengan kemudahan penginapan selesa didirikan di sekitar kawasan ini.

Chalet terapung umpamanya memberikan anda pemandangan indah perkampungan nelayan berdekatan. Bayu laut yang bertiup lembut memberikan udara nyaman tanpa perlu menggunakan penghawa dingin.

Pantai Sri Tujoh yang asalnya terbentuk daripada tujuh teluk/ lagun. Pesisir pantai yang cantik dan tenang ini sangat sesuai untuk kawasan rekreasi keluarga, rombongan dan tempat kursus. Ia dibangunkan oleh pihak Majlis Daerah Tumpat dengan prasarana dan kemudahan seperti chalet, asrama, taman permainan, tandas awam, kedai makan, restoran, dewan serbaguna dan masjid.

Pantai ini berada berhampiran dengan sempadan Thailand dan Kelantan di Kampung Tujoh yang teletak di Tumpat, 7 kilometer daripada Kota Bharu. Untuk ke sana pengunjung bolehlah menaiki bas yang bernombor 43 daripada terminal utama. Sepanjang perjalanan para pengunjung dapat melihat pemandangan yang menarik.

1 ulasan:

Syaa berkata...

mcm best,
(:

Catat Ulasan